Kami belum mendapat sebarang kenyataan media yang dikeluarkan oleh Chery Malaysia, namun beberapa pengedar jenama berkenaan menerusi hantaran media sosial yang dibuat, Chery kini menawarkan dua warna baharu untuk SUV segmen-C Omoda 5 dalam jumlah yang terhad.
Warna berkenaan adalah biru yang digelar sebagai Vanilla Blue dan rona merah yang diberi nama Blood Stone. Dua warna ini hanya ditawarkan untuk varian asas Omoda 5 C, dan tidak ada untuk varian tertinggi Omoda 5 H. Sebelum ini varian C berkenaan hanya ditawarkan dengan warna badan Khaki White, Dark Black dan Phantom Grey.
Apa yang menarik lagi, model dengan warna istimewa dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM99,800 atau RM8,600 lebih murah dari harga semasa Omoda 5 C yang dijual pada harga RM108,400. Dan kalau anda berminat, perlu cepat untuk buat tempahan kerana ia terhad kepada hanya 300 unit.
Kesemua varian Omoda 5 dijana oleh enjin 1.5 liter empat-silinder turbo berkuasa 156 PS dan tork maksima 230 Nm, digandingkan bersama kotak gear CVT automatik bagi memacu hanya roda hadapan.
Antara perincian yang diberikan pada varian H tetapi tidak ada pada varian C termasuk tempat duduk pemandu larasan elektrik, liang pada tempat duduk hadapan, pintu tailgate berkuasa bukaan tanpa sentuh, bumbung suria, bantuan had laju, pengenal tanda trafik dan kamera 360-darjah.
The post Chery Omoda 5 ditawar dalam warna Vanilla Blue dan Blood Stone untuk varian C, hanya 300 unit, RM99,800 appeared first on Paul Tan's Automotive News.